Tun Abdul Razak bin Dato' Hussin


    Tokoh ini telah dilahirkan pada 11hb Mac 1922 di Pulau Keladi, Pekan. Beliau dibesarkan di Kampung Jambu, Langgar, Pekan, Pahang Darul Makmur. Pendidikan awal yang diterima oleh beliau adalah di Sekolah Melayu Kg. Jambu. Beliau juga terpaksa berulang-alik ke sekolah yang jaraknya lebih kurang 4 batu dari rumahnya.

    Arakian, beliau adalah seorang pelajar yang cemerlang dalam kelas. Setelah menamatkan pembelajaran di peringkat rendah, beliau telah melanjutkan pembelajaran di Malay College Kuala Kangsar atau lebih dikenali sebagai MCKK. Berkat usaha yang gigih, beliau menyambung pembelajarannya di Raffles College Singapore (RCS).

    Beliau juga aktif dalam sukan dan berpersatuan semasa berada di MCKK dan RCS. Beliau memilih bidang perundangan sebagai bidang pengkhususan beliau di peringkat yang lebih tinggi. Beliau telah menamatkan pembelajaran beliau di Lincoln's Inn, London dalam masa 18 bulan sahaja.

    Di samping menuntut ilmu di negeri orang, beliau juga mendalami politik di London. Beliau telah menubuhkan Malayan Forum yang dipengaruhi oleh Parti Buruh British dengan tujuan untuk memberi kesedaran politik kepada anak-anak Persekutuan Tanah Melayu. Selain itu, beliau juga menganggotai Persatuan Fabian dan Malayan Student's Union.

    Malangnya.... beliau terpaksa balik ke Tanah Melayu dan berhenti belajar disebabkan oleh kepulangan bapanya ke rahmatullah pada April 1950. Kemudian beliau berkhidmat dengan kerajaan Pahang sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan.

    Selepas 2 tahun berlalu, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri. Sepanjang perkhidmatannya, beliau telah berjaya dalam perkhidmatan awam ini dan menunjukkan tanda-tanda kejayaannya dalam perjuangannya menuntut kemerdekaan.

    Kemudian beliau telah menjadi Ketua Pemuda Umno. Beliau telah dilantik sebagai Ahli Tidak Rasmi Majlis Undangan Persekutuan pada 1 Februari 1951. Pada tahun 1951, iaitu semasa Tunku Abdul Rahman menjadi yang Dipertua UMNO, beliau menjadi Timbalan yang Dipertua dalam usia 29 tahun. Beliau juga pernah diberi kepercayaan untuk menjadi Pemangku MB Pahang selama beberapa bulan pada tahun 1955.

    Semasa beliau menjadi timbalan juga beliau telah menbuat draf-draf untuk Perlembagaan Tanah Melayu dan ikut serta dalam rombongan menuntut kemerdekaan daripada pihak British ke London pada tahun 1956 yang mana pada masa itu negara di dalam jajahan Inggeris. Semasa kemerdekaan umur Tun Abdul Razak ialah 35 tahun. Semasa berkhidmat dengan kerajaan beliau telah memegang beberapa portfolio, di antaranya ialah Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Tetapi adalah menjadi kebanggaan Tun Razak semasa beliau menjadi Menteri Pelajaran yang pertama. Beliau telah mewujudkan satu panduan falsafah pendidikan yang bertujuan menyatupadukan rakyat. Penyata itu dikenali sebagai Penyata Razak 1956.

    Jika dilihat pada diri beliau itu kita dapat melihat bahawa beliau memegang konsep demokrasi berasaskan keseimbangan sosial dan ekonomi dalam setiap kepimpinannya. Semasa Tun menjadi Menteri Pembangunan Negara Dan Luar Bandar, satu gerakan pembangunan luar bandar telah diwujudkan, gerakan itu ialah:

  • merangka satu dasar pembangunan yang meliputi setiap aspek keperluan negara. Dasar itu dikenali sebagai Buku Merah yang dilengkapi dengan Bilik Gerakan yang mencatatkan butir-butir rancangan setiap daerah termasuklah segala kemajuan dan kegagalan rancangan-rancangannya.
  • berusaha menjamin pendapatan petani-petani setimpal dengan apa yang diusahakan. Beliau telah mewujudkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan Dan Negeri (FELDA) untuk membantu petani terutamanya kaum Melayu.
  • membuka tanah-tanah untuk tanaman bagi diusahakan,anak-anak petani disekolahkan dan mengadakan pelbagai aktiviti industri termasuklah kemudahan kewangan dan teknik untuk mereka.
  • memberi peluang kepada bumiputera terlibat dalam perniagaan dengan penubuhan Majlis Amanah Rakyat (MARA), PERNAS dan lain-lain lagi yang berkaitan dengan pembangunan masyarakat.

Kesemua ini telah membuahkan pembangunan negara pada hari ini.

    Dengan peranan yang begitu cemerlang yang dimainkan oleh Tun Razak, beliau telah digelar sebagai Bapa Pembangunan dan juga Bapa Perdamaian. Kehebatan beliau menghadapi ujian banyak dilihat dalam pembentukan Malaysia pada tahun 1963. Pelbagai pembangunan yang dibawa oleh Tun Razak telah menjadikan beliau idola pemimpin lain terutamanya pemimpin yang baru hendak meningkat pada masa kini. Semasa darurat tahun 1969 negara diperintah di bawah MAGERAN diketuai oleh Tun Abdul Razak yang memerintah secara 'Decree'.

    Dalam pimpinan itu beliau berpendapat bahawa 'kuasa penuh tak akan memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat' yang bermaksud satu bentuk kepimpinan haruslah mendapat sokongan ramai dan harus menerima pelbagai pendapat terutamanya rakyat. Sebagai Pengarah MAGERAN, beliau telah berjaya memulihkan keamanan dengan memupuk sifat keharmonian dan muhibbah untuk rakyat dan telah kembali mewujudkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan yang memerintah.

 © Gambar hiasan adalah hakcipta laman rasmi UMNO

[ Destinasi | Sejarah | Peta | Maklumat | Pentadbiran ]
[ Pendidikan | Kemudahan | Kalendar | Web Designer ]


© Dibangunkan oleh CyberSix Team '98 ,Kolej 6 ,Universiti Teknologi Malaysia